NASIONAL

Lagi air botol pengilang Malaysia dikesan ada bakteria

SINGAPURA, 29 JUN: Satu lagi kiriman air minuman botol ke sini dari sebuah syarikat pengeluar Malaysia dikesan mengandungi Pseudomonas aeruginosa iaitu bakteria alam sekitar yang biasa.

Dalam pekeliling yang dialamatkan kepada pengimport air botol, Singapore Food Agency (SFA) memaklumkan bahawa melalui pengawasan baru-baru ini, penghantaran air minuman botol dari Malee Mineral Water Sdn Bhd dikesan mengandungi bakteria itu.

Ekoran pengesanan itu , SFA menyatakan bahawa pengimportan semua botol minuman dan air mineral dari pengilang tersebut tidak dibenarkan dengan serta-merta.

Terdahulu pada 12 Jun, SFA memberitahu bahawa ia telah mengesan bakteria yang serupa dalam air minuman botol “Starfresh” semasa persampelan rutin produk tersebut.

Produk itu diimport dari Malaysia oleh Radha Exports Pte Ltd.

Menurut SFA, Pseudomonas aeruginosa boleh didapati dalam najis, tanah, air dan kumbahan dan ia boleh membiak dalam persekitaran air dan juga permukaan bahan organik yang bersesuaian dengan air.

Penggunaan atau pengambilan produk yang tercemar dengan Pseudomonas aeruginosa boleh menyebabkan pelbagai jangkitan tetapi jarang menyebabkan penyakit serius pada individu yang sihat, menurut SFA.

-BERNAMA


Pengarang :