Lapan pelanggan cemas bank dirompak | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Naeem Raffi

Lapan pelanggan cemas bank dirompak

SHAH ALAM, 4 JUN: Lapan pelanggan sebuah bank di sini melalui detik cemas petang semalam, apabila seorang lelaki bertindak merompak bank berkenaan dan melepaskan dua tembakan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata, dalam kejadian yang berlaku di Jalan Kontraktor U1/14, Hicom Glenmarie Industrial pada 3.50 petang semalam, individu itu berjaya melarikan wang tunai berjumlah RM130,000.

“Dalam kejadian itu, suspek sebaik sahaja memasuki bank berkenaan, telah melepaskan satu das tembakan ke siling menggunakan pistol automatiknya dan kemudian mengacukan pistol ke arah pengawal keselamatan yang tidak bersenjata.


“Lelaki itu kemudiannya mengarahkan seorang pekerja di kaunter mengeluarkan wang dan memasukkan ke dalam beg sandang warna hitam dibawanya dan kemudiannya bertindak melepaskan tembakan kedua ke siling sebelum mengarahkan seorang lagi pekerja bank mengeluarkan dan menyimpan wang dari bilik tunai ke dalam beg sama,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Baharudin ketika kejadian terdapat enam pekerja bank, lapan pelanggan serta dua pengawal keselamatan.

“Kejadian berlaku dalam masa lima minit dan suspek telah melarikan diri menggunakan kenderaan yang belum dikenal pasti,” katanya.

Baharudin berkata, pihaknya kini meneliti rakaman televisyen litar tertutup dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjatapi (penalti lebih berat)1971,” katanya.

– BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next