NASIONAL

Latheefa angkat sumpah Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Latheefa Beebi Koya mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.

Sultan Abdullah berkenan mengurniakan Surat Watikah Pelantikan kepada Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM ke-14, untuk tempoh kontrak dua tahun, mulai 1 Jun 2019 hingga 31 Mei 2021.

Majlis angkat sumpah itu selaras dengan Seksyen 5 (7) Akta SPRM 2009 iaitu setiap Ketua Pesuruhjaya yang dilantik perlu mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

Latheefa, 46, menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang memohon memendekkan kontrak beliau lebih awal yang sepatutnya berakhir pada 17 Mei 2020.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari University of London merupakan bekas Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty dan bekas anggota jawatankuasa pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Turut hadir menyaksikan istiadat itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki.

-BERNAMA

 


Pengarang :