NASIONAL

Latheefa komited perangi rasuah

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 7 JUN: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Beebi Koya komited akan menggalas tugas diamanatkan itu sebaiknya.

Latheefa dalam satu kenyataan berkata, sudah banyak pendapat yang dikeluarkan sejak pelantikan beliau diumum sehari sebelum Aidilfitri namun baginya setiap orang berhak mengeluarkan pendapat masing-masing.

 

“Sesiapapun berhak menyoal, mengkritik atau mengeluarkan pendapat masing-masing, ini tidak mengapa. Tugas saya jelas iaitu untuk membanteras rasuah di mana-mana sahaja.

“Dengan sokongan dan dokongan rakyat dan pegawai saya di SPRM, kami akan dapat mengubah Malaysia kepada satu masyarakat yang alah kepada rasuah dan bebas dari rasuah,” katanya.

Sementara itu, Latheefa berkata, beliau akan melihat kepada tindakan jangka masa panjang termasuk pendidikan bagi mewujudkan satu budaya yang tidak bertoleransi kepada rasuah.

“Adalah hak asas setiap rakyat Malaysia untuk dibenarkan hidup, bekerja dan makmur dalam satu persekitaran yang bebas rasuah. Dengan pertolongan Allah SWT, saya berharap untuk berjaya dalam tugas ini,” katanya.

Latheefa yang jua Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu berkuat kuasa 1 Jun lalu selepas Datuk Seri Mohd Shukri Abdull menamatkan kontraknya lebih awal.

Pelantikan Latheefa adalah untuk tempoh kontrak dua tahun dan telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

 


Pengarang :