NASIONAL

Latheefa nafi minta jemaah haji pulangkan duit tajaan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 JUN: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya menafikan beliau meminta jemaah haji yang ditaja memulangkan semula wang tajaan itu.

Sebaliknya, tangkap layar yang dimuat naik di Twitternya itu adalah palsu.

Latheefa menaikkan ciapan palsu itu di laman Twitternya dengan ringkas berkata ‘Ini adalah palsu!’.

 

Dalam tangkap layar palsu dimuat naik Latheefa itu, meninta jemaah haji yang ditaja memulangkan wang itu dalam tempoh 30 hari jika tidak mahu dikenakan tindakan.

“Para Jemaah Haji ditaja guna wang curi dari 1MDB sejak 2011 hingga 2018, diminta memulangkan wang dalam tempoh 30 hari bermula hari ini, atau bakal berdepan tindakan,” menurut tangkap layar itu.

Baru-baru ini, Latheefa mengumumkan senarai 41 responden yang berkaitan dan sudah membuat permohonan lucut harta mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Wang yang diterima responden itu datang daripada akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan jumlah permohonan lucut harta bernilai RM270 juta adalah jumlah terbesar dalam sejarah bagi kes pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan (AMLA) di negara ini.


Pengarang :