SELANGOR

Lebih 5,000 pengunjung gamatkan Konsert Alami #SmartSelangor

OLEH SHEEDA FATHIL

KAJANG, 30 JUN: Lebih 5,000 pengunjung menggamatkan Konsert Alami #SmartSelangor yang diadakan di Stadium Kajang, di sini, malam tadi.

Konsert itu sebahagian daripada program Karnival Jelajah 360 Smart Selangor anjuran Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor dan dikuasakan Universiti Selangor (UNISEL).

Antara artis terbabit menghiburkan penonton adalah Datin Alyah, Mark Adam, Arif Bahran, Sissy Iman dan Sandra serta dihoskan, Syuk Hot FM.

Menjadi lokasi keempat karnival, kehangatan cukup terasa apabila penonton begitu ‘sporting’ dan memberi jeritan serta tepukan gemuruh ketika artis pujaan mereka membuat persembahan di atas pentas.

Konsert yang berlangsung hampir tiga jam itu menyaksikan penyanyi kelahiran Johor, Alyah mendendangkan lagu popularnya Jutaan Purnama dan Meluruh, manakala Mark Adam mendendangkan lagu Marry Me dan Si Katak.

Jelajah 360 Smart Selangor yang diadakan selama tiga hari sejak Jumaat lalu bertujuan menghubungkan rakyat secara terus kepada pentadbiran negeri, sekali gus meningkatkan ‘service delivery’ Kerajaan Negeri.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan pada karnival terbabit antaranya pameran agensi Kerajaan Negeri, Motor Show, Soopa Doopa, Smart Busker Rakyat, Ceramah Kerjaya, Giveaway Smart Selangor, Pertandingan Bola Jaring dan Bola Keranjang serta Zumbathon.

Berdasarkan rekod, Jelajah 360 Smart Selangor sebelum ini sudah diadakan di Kuala Selangor, Kuala Kubu Bharu dan Sabak Bernam dan bakal menjelajah ke Klang, pada September nanti.


Pengarang :