BERITA UTAMASELANGOR

Lebih 60,000 meriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Selangor

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

FOTO ASRI SAPFIE & FIKRI YUSOF

SHAH ALAM, 15 JUN: Lebih 60,000 hadirin membanjiri Bulatan Bazarena, Seksyen 13, di sini bagi memeriahkan Sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2019 peringkat Selangor, malam ini.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat untuk bersama-sama rakyat di majlis itu.

Aneka juadah tradisi seperti ketupat, lemang, serunding, nasi kebuli, ayam masak ros, kambing kebuli, daging hitam manis serta serabai dengan kuah durian disajikan kepada tetamu yang mula hadir sekitar 7 petang tadi.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kehadiran orang ramai daripada pelbagai kaum mencerminkan perpaduan dan permuafakatan yang kukuh dalam kalangan masyarakat di Selangor.

Katanya, beliau menghargai kehadiran masyarakat pelbagai kaum dan peringkat usia yang memeriahkan majlis rumah terbuka anjuran Kerajaan Negeri itu.

“Saya juga menjunjung kasih kehadiran DYMM Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor termasuk tetamu jemputan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Diharapakan perkara ini dikekalkan dan diteruskan pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Sementara itu, kehadiran pengunjung yang di luar jangkaan jelas membuktikan betapa rakyat di negeri itu menzahirkan kesetiaan mereka kepada Sultan Selangor.

Seorang pengunjung, Muhammad Ali Rahim, 45, berkata majlis rumah terbuka itu memberi peluang kepada rakyat untuk bertemu baginda dan pimpinan negeri secara lebih dekat.

“Ini menunjukkan Sultan Selangor sudi meluangkan masa bersama rakyat untuk meraikan kemeriahan Syawal dan lebih besar berbanding tahun sebelum ini serta perlu diteruskan pada masa akan datang,” katanya yang menetap di Lembah Subang.

Artis terkenal termasuk Jamal Abdillah, Jay Jay, Hael Husaini dan Wany Hasrita turut dijemput mengadakan persembahan bagi menghiburkan pengunjung.

Kemeriahan majlis turut dirasai dengan persembahan kebudayaan dan kesenian daripada Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor.


Pengarang :