SELANGOR

Lebih baik fokus pembangunan, kata MB

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 JUN: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menggesa semua pihak menghentikan penyebaran video lucah yang mengaitkan seorang menteri Kabinet.

Sebaliknya, beliau berkata, tumpuan harus diberikan kepada perbincangan dasar dan nilai yang membawa kepada kejayaan pembangunan negeri atau negara.

“Lebih baik perbincangan politik kita lebih kepada dasar dan nilai. Banyak perkara lagi yang perlu dibincangkan daripada perkara yang memalukan dan mengaibkan.

“Perkara ini tidak membantu kepada pembangunan dan kejayaan pembangunan negeri mahupun negara, lebih baik kita terus fokus mengenainya (pembangunan) untuk kejayaan masa hadapan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Projek Sistem Pengurusan Geospatial SmartSel (SELGEM), di Dewan Jubli Perak, di sini.

Amirudin turut berpendapat kontroversi yang tular ketika ini tidak relevan dengan peredaran masa.

“20 tahun mengajar kita bahawa modal ini tidak laku dan akan makan diri mereka semula, ia juga tidak mendatangkan hasil.

“Semua watak yang terbabit dengan kontroversi ini akhirnya hilang dan menjadi orang yang dilupakan serta dibiarkan,” katanya.

Semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan sekeras-kerasnya pembabitan beliau dalam sebuah video lucah yang tersebar sejak kelmarin dan menyifatkannya sebagai satu tuduhan jahat serta kejam.

Timbalan Presiden KEADILAN itu menegaskan, beliau yakin siri fitnah terbabit komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadian serta menjatuhkan dan memusnahkan kerjaya politiknya.


Pengarang :