NASIONAL

Lelaki Indonesia terjun parit elak dicekup pihak berkuasa

 

KUALA LUMPUR, 1 Jun : Seorang lelaki warga Indonesia sanggup menggadaikan nyawa dengan terjun ke dalam parit besar untuk menyelamatkan diri daripada ditahan pihak imigresen kerana memiliki permit pekerjaan palsu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, lelaki yang berusia lewat 30-an tersebut pada mulanya ditahan untuk pemeriksaan ketika Operasi Khas Motosikal sempena Aidilfitri di Tol Batu 9 Cheras menghala Kajang, sebelum berjaya meloloskan diri.

Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia Kuala Lumpur Ahmad Shauqei Abdul Rahman berkata beliau bersama beberapa anggota penguatkuasaan lain berlari sejauh 200 meter dari lokasi operasi untuk mengejar pendatang asing itu, namun suspek gagal dikesan sehingga kini.

“Ketika pemeriksaan, saya mendapati pasport lelaki tersebut mencurigakan sebelum memberitahunya bahawa permit pekerjaan di dalam pasportnya adalah palsu… suspek terus melarikan diri dengan melompat ke dalam longkang besar bersebelahan lebuh raya dan memasuki kampung berdekatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, dalam operasi yang sama, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur Datuk Ismail Mohd Zawawi berkata sejumlah 310 saman dikeluarkan termasuklah 160 saman kerana tidak mempunyai lesen kenderaan motor selain 145 saman kerana tidak mempunyai lesen memandu yang sah.

“Ops Khas Motosikal selama tiga jam hari ini juga menunjukkan peningkatan sebanyak 26 saman berbanding tahun sebelumnya iaitu 284 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan,” katanya.

Lima puluh tiga anggota termasuk 30 anggota JPJ, tujuh anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) serta sembilan anggota dari Jabatan Imigresen melakukan pemeriksaan terhadap 1,100 motosikal.

Pada operasi itu, tiga orang didapati positif dadah manakala 12 pendatang asing tanpa izin ditahan atas pelbagai kesalahan.

Dalam operasi di Plaza Tol PJS 2, Petaling Jaya malam ini pula menyaksikan 14 motosikal disita dan 348 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuklah tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Selangor Nazli Md Talib berkata sebanyak 1,018 motosikal diperiksa dalam operasi lebih empat jam bermula 6 petang itu, dan empat individu didapati positif dadah selepas diperiksa oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Lebih 60 pegawai dan anggota daripada JPJ, AADK, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyertai operasi malam ini.

Bertemakan ‘Pandu dengan Cermat dan Sampai dengan Selamat’, JPJ memulakan Operasi Khas Motosikal sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri bermula 29 Mei hingga 13 Jun.

Dalam pada itu, Nazli menambah, pihaknya juga menahan seorang pemandu bas berusia 40 tahun yang didapati positif dadah di Terminal Bas Seksyen 17 di Shah Alam, semalam.

“Sebanyak 71 buah bas diperiksa dalam operasi selama enam hari bermula 23 Mei lepas di empat depoh di sekitar Selangor… JPJ memandang serius aktiviti penyalahgunaan dadah di kalangan pemandu bas,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :