Lelaki kurang siuman ditahan cuba pecah mesin ATM | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Aishah Amin

Lelaki kurang siuman ditahan cuba pecah mesin ATM

TAWAU, 8 Jun : Seorang lelaki dipercayai kurang siuman ditahan polis selepas cuba memecah sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank di Jalan Perbandaran, di sini, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Supt Nor Azizulkifli Mansor, berkata, lelaki berusia 27 tahun itu ditahan pada jam 8.20 pagi selepas mendapat maklumat orang awam mengenai kehadiran suspek yang mencurigakan di ruang lobi bank berkenaan.

Beliau berkata berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek masuk ke lobi bank yang menempatkan mesin ATM pada jam 8.10 pagi dan cuba membuka pintu hadapan penutup mesin ATM tetapi gagal.


“Suspek kemudian keluar mengambil sebatang kayu di luar bank yang digunakan untuk menghadang pintu masuk ruang lobi ekoran ketika cubaannya memecah mesin itu terdapat orang awam yang mahu masuk ke bank tetapi dihalau,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam pada itu, katanya, suspek dipercayai cuba membuka pintu hadapan penutup mesin ATM menggunakan dawai pin kertas yang diambil dari tong sampah tetapi tidak berjaya.

“Suspek kemudian bertindak menarik pintu luar mesin ATM menggunakan tangan sehingga terbuka, namum pintu peti besi simpanan wang masih dalam keadaan sempurna,” katanya.

Nor Azizulkifli berkata, ketika kejadian, tiada pengawal keselamatan bertugas dan penggera keselamatan turut tidak berbunyi.

Hasil siasatan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan dipercayai kurang siuman serta berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian, katanya.

“Berdasarkan kenyataan beberapa saksi awam, suspek sering berkeliaran di kawasan bank dan bandar Tawau sejak beberapa bulan lepas,” katanya. -BERNAMA

 

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next