NASIONAL

Lelaki maut kereta terjunam ke dalam sungai

ALOR SETAR, 30 JUN: Seorang lelaki berumur lingkungan 30-an ditemui mati selepas kereta dipandunya dipercayai terbabas sehingga terjunam ke dalam Sungai Santap di Pokok Sena dekat sini, malam tadi.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penolong Kanan Penguasa Bomba Sallehuddin Darawi berkata pihaknya menerima panggilan mengenai sebuah kereta jenis Proton Wira terjatuh ke dalam sungai berkenaan pada 11.08 malam dan tiba di lokasi tujuh minit kemudian.

“Setibanya pihak kami di sungai ini, kami membuat pencarian dan mendapati memang ada kereta terbabas masuk sungai. Kami kemudian meminta bantuan pihak polis supaya menyediakan dua trak tunda kenderaan untuk menarik kereta ini ke atas,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, awal pagi tadi.

Sallehuddin berkata kereta itu mula kelihatan pada 2.32 pagi dan pihaknya berjaya mengeluarkan mayat lelaki itu melalui pintu penumpang belakang pada 2.46 pagi sebelum menyerahkannya pada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata seramai 19 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Pokok Sena serta Balai Bomba dan Penyelamat Jitra terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat itu selain dibantu pihak bomba sukarela serta polis.

“Untuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) ini terdapat lima orang (daripada jumlah keseluruhan anggota termasuk pegawai itu) dari Balai Bomba dan Penyelamat Jitra yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat ini,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :