NASIONAL

Lembaga Pengarah SRC mungkin tahu cadangan pinjaman RM3.95 bilion

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Lembaga Pengarah SRC International Sdn Bhd mungkin mengetahui tentang cadangan permohonan pinjaman berjumlah RM3.95 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.

Tan Sri Ismee Ismail, bekas anggota lembaga pengarah SRC berkata ini berdasarkan sepucuk surat bertarikh 3 Jun 2011, yang ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil.

Ismee, 54, berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Harvinderjit Singh, yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak, semasa perbicaraan kes bekas perdana menteri itu, di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Harvinderjit : Tan Sri, sebagai pengerusi mesyuarat anggota lembaga pengarah SRC, adakah kamu sedar mengenai sepucuk surat yang ditandatangani oleh Nik Faisal bertarikh 3 Jun 2011, yang menyatakan bahawa syarikat ini memohon pinjaman RM3.95 bilion daripada KWAP?

Ismee: Saya kurang pasti.

Harvinderjit: Adakah kamu bersetuju bahawa anggota lembaga pengarah SRC mungkin tahu tentang cadangan pinjaman RM3.95 bilion daripada KWAP?

Ismee: Ya, saya setuju.

Dalam perkara lain, Ismee berkata Najib mempunyai pelbagai peranan dalam operasi SRC kerana bekas perdana menteri itu adalah penasihat emeritus syarikat berikutan pemasukan fasal 117 kepada Memorandum dan Artikel penubuhan SRC.

Saksi ke-39 pendakwaan itu berkata Najib merupakan pemegang kepentingan dalam SRC atas kedudukannya sebagai menteri kewangan memandangkan syarikat itu dimiliki Kementerian Kewangan Diperbadankan.

“Saya mematuhi arahan perdana menteri yang juga penasihat emiritus SRC, menteri kewangan dan wakil korporat Kementerian Kewangan Diperbadankan,” katanya ketika disoal balas Harvinderjit.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa dan tiga pertuduhan melakukan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan bersambung esok. – BERNAMA


Pengarang :