SUKANKINI

Liga Malaysia kembali warnai Singapura

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 28 JUN: Stesen penyiaran Singapura, Singtel TV akan menyiarkan 30 perlawanan terpilih Liga Super Malaysia 2019, Shopee Piala FA dan Piala Malaysia bermula 29 Jun di saluran Mio Sports 111-113.

Perjanjian antara Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Reddentes Sports yang menandatangani hak penyiaran bola sepak Malaysia menerusi Singtel TV itu turut bakal menyiarkan perlawanan separuh akhir dan final Piala Malaysia.

Pengumuman itu membolehkan penyokong bola sepak Singapura menonton bintang tempatan mereka yang beraksi di Liga Malaysia iaitu kapten Johor Darul Ta’zim (JDT), Harris Harun, Safuwan Baharudin (Pahang), Khairul Amri (Felda United) dan pemain Kedah, Shakir Hamzah.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, beliau teruja apabila Liga Malaysia terus mendapat tumpuan positif daripada negara jiran dan berharap kerjasama itu bakal memberikan manfaat besar kepada kesemua penyokong bola sepak di Asia Tenggara.

“Musim 2019 telah menjadi satu yang menarik dengan kehadiran beberapa bintang Singapura yang bermain di Malaysia.

“Kami sangat gembira melihat kehadiran Singtel TV serta kami berusaha untuk mempamerkan bola sepak Malaysia kepada penonton di luar negara.

“Kami berharap ini adalah permulaan kerjasama yang panjang di luar musim ini,” katanya dalam kenyataan.

Bagi Rakan Urusan Reddentes Sports, Mark Chew berkata, peminat bola sepak di Singapura sentiasa mempunyai minat yang kuat terhadap Liga Super Malaysia dan Piala Malaysia.

“Dengan kapten pasukan kebangsaan Hariss dan bintang-bintang seperti Amri, Safuwan dan Shakir dalam pertandingan, ia adalah sesuatu yang kami sedang usahakan di Reddentes untuk masa yang lama.

“Peminat sekarang akan dapat menyaksikan beberapa ‘Lions’ kegemaran mereka beraksi di atas padang bersama kelab mereka dan kami gembira telah memainkan peranan dalam menjadikannya satu kenyataan,” katanya.

Perlawanan pertama yang akan disiarkan di Singtel TV bermula aksi separuh akhir kedua Shopee Piala FA di antara Perak dan Pahang serta Felda United dan Kedah.


Pengarang :