NASIONAL

Lima anggota kumpulan Black Ruger aktif samun bersenjata ditahan

 

KUALA LUMPUR, 28 Jun : Polis berjaya menyelesaikan 10 kes samun bersenjata di daerah Sungai Buloh, Petaling Jaya dan Gombak susulan penahanan lima anggota kumpulan ‘Black Ruger’ dalam serbuan di Sungai Buloh dan Bukit Mertajam, Pulau Pinang sejak 28 Mei lepas sehingga semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Shafa’aton Abu Bakar berkata lima lelaki berumur 22 hingga 37 tahun itu ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes samun bersenjata di sebuah stesen minyak di Merbau Indah Merbau Sempak, Sungai Buloh pada 27 Mei lalu.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, dua suspek yang memakai topi keledar dengan seorang daripadanya telah mengacukan senjata menyerupai pistol ke arah mangsa yang bekerja sebagai penyelia di stesen minyak itu.

“Bertindak atas laporan penyelia stesen minyak itu, polis menahan seorang juruteknik di Jalan Kampung Baru Sungai Buloh sehari selepas kejadian dan merampas sebuah motosikal jenis Yamaha dan sebuah telefon bimbit.

“Susulan tangkapan itu, polis menahan seorang lagi lelaki yang bekerja di kawasan sama dan kedua-dua suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh dekat sini, hari ini.

Shafa’aton berkata tangkapan ketiga di Bandar Baru Sungai Buloh pada 17 Jun lepas melibatkan seorang lelaki berusia 31 tahun yang disyaki dalang kumpulan Black Ruger dan mempunyai 11 rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah dan dadah.

Menurutnya, hasil soal siasat, pasukan polis berjaya menahan seorang lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan merampas sepucuk pistol jenis Ruger buatan Amerika Syarikat.

“Pemeriksaan di dalam rumah suspek yang mempunyai enam rekod jenayah lampau itu turut menemui satu kelopak dan 16 butir peluru hidup jenama Thai Arm,” katanya.

Menurutnya, tangkapan kelima melibatkan seorang lelaki yang bekerja sebagai kelindan lori di Kampung Seri Indah, Sungai Buloh, semalam.

Hasil siasatan mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah dan dadah.

“Kumpulan yang aktif sejak awal 2018 ini menyasarkan kedai runcit, stesen minyak dan samun tepi jalan serta pernah melepaskan tembakan dalam satu kejadian pada tahun lepas.

“Kumpulan ini bergerak dalam dua atau tiga orang untuk menyamun dan menggunakan motosikal serta kereta untuk melarikan diri,” katanya.

Shafa’aton berkata, pihaknya masih mencari dua anggota kumpulan itu yang identiti mereka sudah dikenal pasti.

Semua suspek ditahan reman sehingga Rabu depan untuk siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971. -BERNAMA


Pengarang :