NASIONAL

Lima warga asing parah van rempuh treler

ALOR SETAR, 13 JUN: Empat warga Laos dan seorang warga Thailand cedera parah selepas van pelancong dinaiki mereka melanggar bahagian belakang sebuah treler di Kilometer 101 Lebuh raya Utara-Selatan arah Utara dekat Sungai Petani, awal pagi tadi.

Enam lagi individu yang turut menaiki kenderaan sama, masing-masing cedera ringan atau tidak mengalami kecederaan dalam kejadian berkenaan.

Penolong Pengarah Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata pihaknya mendapat panggilan berhubung kejadian itu pada 5.43 pagi dan tiba di lokasi itu sembilan minit kemudian.

“Setibanya di lokasi kejadian, didapati pemandu van tersebut yang merupakan lelaki warga Thailand telah tersepit di tempat duduk manakala mangsa lain tidak tersepit namun mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata lima yang cedera parah terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita, manakala mangsa yang cedera ringan atau tidak mengalami kecederaan kesemuanya lelaki.

“Kesemua penumpang van itu merupakan warga Laos dan hanya pemandu van sahaja warga Thailand,” katanya.

Mohamadul Ehsan berkata semua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani untuk rawatan lanjut.

-BERNAMA


Pengarang :