BERITA UTAMANASIONALSUKANKINI

Liverpool julang trofi UCL kali keenam

OLEH AFIX REDZUAN

MADRID, 2 JUN: Liverpool menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) kali keenam dalam sejarah kejohanan apabila menewakan Tottenham Hotspur 0-2 dalam perlawanan yang berlangsung di Estadio Wanda Metropolitano pagi ini.

Liverpool dianugerahkan sepakan penalti ketika perlawnan baru berlangsung 23 saat selepas pemain pertahanan, Moussa Sissoko menampan bola sepakan Sadio Mane menggunakan tangan.

Mohamed Salah yang mengambil sepakan itu tenang menyudahkan bola ke sebelah kanan gawang Spurs menewaskan penjaga gol Hugo Lloris untuk kedudukan semasa 0-1.

Spurs kembali memperkemaskan corak permainan menerusi penguasaan bola dalam usaha memecah kubu pertahanan Liverpool.

Trent Alexander-Arnold turut menguji gawang Spurs pda minit ke-16 menerusi percubaan luar kotak penalti tetapi gagal menepati sasaran.

Gawang Spurs kembali diuji pada minit ke-38 menerusi percubaan kaki kiri Andrew Robertson tetapi Lloris lebih bersedia untuk menampan keluar bola.

Christien Eriksen turut menguji gawang Liverpool di penghujung babak pertama tetapi rembatannya tidak menghadirkan ancaman.

Bersambung babak kedua, Robertson menghadirkan ancaman buat Spurs pada minit ke-55 menerusi hantaran lintang ke dalam kotak penalti tetapi berjaya ditangkap kemas Lloris.

Spurs cuba mengasak selepas itu tetapi benteng pertahanan Liverpool kental bertahan menyerap gerakan yang cuba direncana lawan.

James Milner hampir berpeluang menggandakan jaringan buat The Reds pada minit ke-68 tetapi rembatan kaki kirinya keluar melintasi tiang gol.

Dele Alli turut menguji penjaga gol Liverpool, Alisson Becker pada minit ke-72 apabila cuba melambungkan bola ke gawang lawan tetapi beliau lebih bersedia untuk menangkap kemas bola.

Spurs mengasak mencari gol penyamaan menerusi dua percubaan dalam tempoh kurang seminit menerusi Heung Min-Son dan Lucas Moura tetapi Alisson tenang mengawal gawang daripada dibolosi.

Alisson sekali lagi cemerlang menafikan peluang Spurs untuk menyamakan kedudukan apabila menepis keluar sepakan percuma Eriksen pada minit ke-84.

Liverpool mematikan sisa perjuangan Spurs pada minit ke-86 apabila menjadikan kedudukan 0-2 menerusi Divock Origi.

Berpunca daripada sepakan penjuru Milner, pertahanan Spurs gagal mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya dan Joel Matip berjaya mencuri bola kepada Origi sebelum beliau melepaskan rembatan kaki kiri menewaskan Lloris.

Masuk masa tambahan lima minit, Spurs menggandakan asakan mencari gol tetapi Alisson terlalu kebal di pertahanan akhir.

Ini merupakan kejuaraan keenam Liverpool dalam sejarah sembilan kali mara ke perlawanan akhir dan terakhir menang pada 2005 di Istanbul, Turki, menewaskan AC Milan.

 

Kredit Foto: UEFA Champions League


Pengarang :