BERITA UTAMA SELANGOR

LPHS beli hampir 1,000 unit rumah bagi Skim Smart Sewa

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KLANG, 20 JUN: Sebanyak 993 unit rumah dibeli Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) untuk dijadikan program Skim Smart Sewa setakat ini.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, pembelian unit rumah yang bakal disewakan menerusi skim berkenaan membabitkan peruntukan RM210 juta sepanjang tempoh empat tahun bermula 2016 sehingga tahun ini.

Katanya, daripada keseluruhan unit itu, sebanyak 341 unit disewakan dengan kadar sewaan bermula RM450 sehingga RM700 sebulan.

“Tambahan sebanyak 161 unit rumah juga sudah diterima Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) yang sedia untuk disewakan.

“Semua unit ini terdapat di hampir kebanyakan lokasi popular yang mempunyai permintaan untuk sewa unit di Selangor antaranya Rawang, Kajang, Kuala Selangor, Klang, Puchong dan Shah Alam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Skim Smart Sewa Dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Pangsapuri Asteria, Bandar Parklands, di sini malam tadi.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif LPHS, Sr Nazmi Osman dan Pemangku Pengurus Besar PHSSB, Wan Mohd Fadzli Mohd Yusoff.

Terdahulu, seramai 70 keluarga menerima manfaat Skim Smart Sewa di pangsapuri terbabit selepas menerima kunci yang diserahkan sendiri Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya itu.

Pada masa sama, Haniza berkata, skim berkenaan adalah salah satu inisiatif Kerajaan Negeri bagi membantu golongan berpendapatan rendah untuk menyewa sambil menyimpan.

Katanya, setiap penyewa akan menyewa untuk tempoh sekurang-kurangnya dua tahun dan tempoh maksima sewaan adalah selama lima tahun.

“Penyewa akan mendapat balik 30 peratus daripada jumlah keseluruhan sewaan bersih yang dibayar apabila kontrak sewaan tamat dan tidak lagi tinggal di unit berkenaan.

“Pengembalian 30 peratus ini membolehkan penyewa menggunakannya sebagai bayaran deposit untuk pembelian Rumah SelangorKu.

“Ia dilihat sebagai jalan mudah untuk penyewa membeli Rumah SelangorKu kerana PHSSB akan menyerahkan senarai nama kepada LPHS untuk diberi keutamaan bagi membeli unit Rumah SelangorKu,” katanya.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)

 


Pengarang :