BERITA UTAMASELANGOR

LRA Labohan Dagang atasi isu air Kuala Langat

OLEH NAZLI IBRAHIM

BANTING, 25 JUN: Pihak yang mendakwa kononnya projek pembangunan Loji Rawatan Air (LRA) Labohan Dagang sebagai satu pembaziran akhirnya terpaksa menelan kata-kata sendiri.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hal ini berikutan projek menelan kos RM587 juta itu membolehkan Daerah Kuala Langat mendapat bekalan air sendiri dan tidak lagi bergantung kepada LRA Sungai Selangor.

“Kecaman dan dakwaan itu adalah tidak berasas kerana mereka yang membuat kecaman itu tidak memahami perancangan jangka panjang yang menjadi tanggungjawab sesebuah kerajaan.

“Dengan siapnya LRA Labohan Dagang (Fasa 1) ini, Kuala Langat akan mendapat bekalan air sendiri sebaliknya sebelum ini, daerah ini adalah kawasan dihujung sistem bekalan air dan tidak ada satu loji khusus untuk menapung permintaan air.

“Kuala Langat termasuk kawasan Klang adalah kawasan terakhir dalam sistem agihan air dari Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 dan 3.

“Sebelum ini, jika berlakunya gangguan bekalan Kuala Langat adalah kawasan terakhir akan pulih kerana ia berada di hujung sistem bekalan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan LRA Labohan Dagang di tapak loji itu di sini, petang tadi.

Amirudin berkata, dengan adanya LRA Labohan Dagang, masalah bekalan air di kawasan Kuala Langat dan Klang dapat diatasi sementara bekalan air daripada Sungai Selangor Fasa 1 dan 3 boleh ditumpukan kepada kawasan Lembah Klang.

Katanya, LRA Labohan Dagang juga secara berfasa akan mengambilalih bekalan air dari LRA Sungai Semenyih ke kawasan Beranang, sebahagian kawasan Hulu Langat dan pembangunan baharu di sepanjang Lebuh Raya Lekas.

“Dengan kaedah ini, LRA Semenyih boleh membantu pembekalan ke kawasan Subang Jaya.

“Manakala bekalan air dari Loji Labu boleh ditumpukan sepenuhnya untuk menampung permintaan pengguna yang semakin pesat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur,” katanya.


Pengarang :