BERITA UTAMASELANGOR

LRA Labohan Dagang mula beroperasi, bekal 200 JLH sehari

OLEH NAZLI IBRAHIM

BANTING, 25 JUN: Loji Rawatan Air (LRA) Labohan Dagang dengan teknologi canggih secara rasmi memulakan operasinya dengan kemampuan membekalkan air terawat sebanyak 200 juta liter/hari (JLH).

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, loji yang dibangunkan dengan sistem operasi secara automatik itu menyalurkan bekalan air terawat ke Wilayah Kuala Langat yang selama ini menerima bekalan melalui LRA Semenyih, LRA Labu dan LRA Sungai Selangor.

“Sebelum ini, pada 23 Oktober 2016, kita semua juga telah berkumpul di sini untuk Pelancaran Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan ini dan hari ini projek ini telah berjaya disempurnakan dengan baik.

“Pembinaan LRA Labohan Dagang ini dimulakan pada Julai 2017 dengan kos pembangunan termasuk kos pengambilan tanah dianggarkan sebanyak RM587 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan LRA Labohan Dagang di tapak loji itu di sini, hari ini.

Amirudin berkata, LRA Labohan Dagang yang dibangunkan di atas tanah seluas 26 hektar itu dilengkapi komponen dan peralatan berteknologi tinggi.

Loji ini memiliki empat unit kolam takungan utama, empat unit rumah pam air mentah, sebuah tangki pengudaraan, dua unit tangki percampuran yang dilengkapi ‘Static Mixer’ dan lapan unit tangki pengentalan atau ‘Flokulasi’ dan lapan tangki enapan jenis ‘plain sedimentation tank’ yang dilengkapi dengan ‘hydraulic scrapper’ dan ‘air lift system’.

Loji ini juga dilengkapi dengan 20 unit Tangki Penapis dari jenis ‘Rapid Sand Gravity’ beserta sebuah tangki pembasmian kuman dan air bersih selain memiliki kemudahan bagi proses rawatan enapcemar, empat unit pam yang akan mengepam serta menyalurkan air terawat ke kolam imbangan seterusnya ke sistem agihan.

Amirudin pada majlis sama merasmikan LRA Labohan Dagang sambil disaksikan beberapa orang kenamaan lain.

Antara yang hadir adalah, Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya; EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Izham Hashim dan beberapa kenamaan lain.

 


Pengarang :