BERITA UTAMASELANGOR

LRA Sungai Langat terjejas kembali beroperasi

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 7 JUN: Proses rawatan air Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat yang terjejas ekoran masalah peralatan penapisan mekanikal (bandscreen) sudah
kembali beroperasi dan penyaluran air terawat ke kolam agihan juga sudah dimulakan.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, pihaknya sedang dalam proses menstabilkan tekanan dan aliran di sistem agihan bagi mempercepatkan pemulihan bekalan.

Katanya, berdasarkan pemantauan di lapangan sehingga jam 12 tengah hari tadi, kesan gangguan dapat dikurangkan dan bekalan air di kebanyakan kawasan juga sudah kembali pulih.

“Kawasan yang terjejas di Wilayah Kuala Lumpur sudah mencapai 89 peratus pulih manakala hanya tiga kawasan iaitu Pandan Prima, sebahagian Taman U-Thant dan Taman Tenaga yang masih belum pulih sepenuhnya.

“Sementara itu, di Wilayah Petaling mencatatkan pemulihan 100 peratus dan pulih sepenuhnya manakala peratusan pemulihan lapan kawasan di Wilayah Hulu Langat berada pada tahap 65 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, katanya, bagi mengurangkan impak gangguan, bantuan lori tangki air digerakkan secara berterusan dan pihaknya komited memulihkan bekalan kepada pelanggan yang terkesan dan menyalurkan bantuan serta meminimakan impak gangguan.

“Mohon maaf atas kesulitan dan sila rujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor dan laman sesawang www.syabas.com.my untuk maklumat dan status terkini yang akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

 


Pengarang :