BERITA UTAMASELANGOR

LRA Sungai Semenyih kembali beroperasi

SHAH ALAM, 27 JUN: Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih yang dihenti tugas sementara ekoran pencemaran bau di sumber air mentah kembali beroperasi sepenuhnya, jam 6 pagi tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor, Abdul Raof Ahmad berkata, proses penyaluran bekalan air ke sistem agihan dan kolam perkhidmatan di kawasan terjejas sedang berlangsung bagi proses pemulihan berperingkat.

“Bantuan lori tangki air terus digerakkan dan 12 Pusat Khidmat Setempat diaktifkan bagi menyalurkan bantuan kepada pengguna yang terjejas hingga bekalan pulih sepenuhnya.

“Segala usaha diambil bagi mempercepatkan proses pemulihan bekalan air di kawasan terjejas,” katanya dalam kenyataan.

LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sejak 5 petang semalam ekoran pencemaran bau di Sungai Semenyih dan punca pencemaran yang berada pada jarak 16 kilometer dari muka sauk loji dikenal pasti.

Orang ramai boleh merujuk makluman rasmi dan status terkini melalui laman sesawang www.syabas.com.my, aplikasi telefon bimbit Air Selangor, Facebook dan Twitter Air Selangor.


Pengarang :