BERITA UTAMASELANGOR

MAIS terima dividen RM63,646.80 dari TERAS

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 JUN: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menerima bayaran dividen berjumlah RM63,646.80 daripada Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd (TERAS) bagi tahun 2018 .

Serahan cek disampaikan Pengerusi TERAS, Dato’ Ibrahim Md Yusof kepada Pengerusi MAIS, Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi, di ibu pejabat MAIS baru-baru ini.

MAIS dalam kenyataan berkata, bayaran dividen itu adalah 20 peratus daripada keuntungan bersih yang dicatat TERAS sebanyak RM318,234.

“Keuntungan itu bagi akaun korporat berdasarkan Laporan Kewangan dan Penyata Kewangan Beraudit Bagi Tahun Kewangan Berakhir 31 Disember 2018 berbanding dividen pada 2017 sebanyak 10 peratus daripada keuntungan bersih berjumlah RM16,719,” kata kenyataan itu.

Hadir sama, Pemangku Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar; Pengurusan Korporat, Mohd Farid Baharon Pengarah dan Pengurus Besar TERAS, Mohd Hasnul Redza Abdul Rahim

TERAS adalah anak syarikat di bawah MAIS yang beroperasi pada 2011 dengan menguruskan pembangunan usahawan asnaf dan latihan keusahawanan di samping menyediakan bantuan modal perniagaan serta peralatan kepada asnaf yang layak.


Pengarang :