NASIONAL

Majlis Tindakan Sara Hidup Negara lantik lima ahli baharu

OLEH NADIAH ZAMLUS

PUTRAJAYA, 25 JUN: Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) melantik lima lagi ahli baharu bagi membantu usaha kerajaan dalam menangani kos sara hidup.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, antara yang dilantik ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darell Leiking dan Peguam Negara, Tommy Thomas.

Katanya, tiga lagi adalah Ahli Parlimen Jeli, Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd atau MDEC, Surina Shukri dan Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha.

“Semua lantikan ini adalah berdasarkan kepada jawatan masing-masing kecuali pelantikan Mustapa yang merupakan lantikan individu.

“Pelantikan baru ini meliputi anggota kerajaan, tokoh politik dan wakil belia,” katanya dalam sidang media.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat NACCOL yang diketuai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, di Bangunan Perdana Putra, di sini, pagi tadi.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, lantikan ke atas lima individu berkenaan telahpun berkuatkuasa serta merta.

“Untuk makluman, pada mesyuarat hari ini, ada diantara mereka yang turut serta iaitu Surina dan juga Jufitri, sementara Tommy dan Darell menghantar wakil, manakala Mustapa pula berada di London,” katanya.

Terdahulu, pada Ogos 2018, KPDNHEP mengumumkan untuk mengaktifkan semula NACCOL yang bertujuan mengkaji dan menangani isu peningkatan kos sara hidup rakyat.

Majlis yang akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri itu turut membabitkan membabitkan kementerian seperti pengangkutan, pendidikan, kesihatan dan KPDNHEP.


Pengarang :