NASIONAL

Maklumat tidak sampai punca penerima BSH tidak mohon mySalam

JITRA, 14 JUN: Maklumat yang tidak sampai kepada golongan sasaran adalah antara penyebab kenapa individu yang layak tidak memohon Skim Perlindungan Nasional B40 (mySalam) yang diperkenalkan kerajaan sejak Januari lepas.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, masih ramai yang tidak menyedari tentang kewujudan skim untuk penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) itu, walaupun kerajaan telah membuat hebahan menggunakan pelbagai saluran media sebelum ini.

“Kerajaan sedaya upaya cuba menyalurkan maklumat ini, namun ada yang tidak tahu. Selepas ini diharap pihak lain seperti Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) mainkan peranan lebih agresif untuk sebarkan maklumat tentang mySalam di peringkat akar umbi,” katanya kepada pemberita pada Program Ramah Mesra bersama MPKK Kampung Pelubang di sini, hari ini.

Sebelum ini, ramai penerima BSH mendakwa mereka tidak tahu tentang mySalam menyebabkan kemudahan itu tidak dapat dimanfaatkan oleh mereka apabila terpaksa dimasukkan ke hospital atau disahkan menghidap penyakit kronik.

Menerusi skim itu, penerima BSH yang layak berusia 18 hingga 55 tahun boleh menuntut bayaran sebanyak RM50 sehari (maksimum 14 hari) jika dimasukkan ke hospital kerajaan, manakala RM8,000 akan diberikan secara one-off kepada mereka yang disahkan menghidap penyakit kronik tertentu.

Sementara itu, Amiruddin berkata lebih 90 peratus bayaran BSH bagi fasa dua telah disalurkan kepada penerima, namun bagi penerima di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak belum menerima bayaran.

“Tapi kita akan hantar pegawai kita (Kementerian Kewangan) ke sana segera bagi membolehkan pembayaran dibuat kepada penerima secara tunai walaupun mengambil sedikit masa,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :