NASIONAL

Malaysia ambil langkah berjaga-jaga elak penularan wabak ASF

BATU KAWAN, 24 JUN: Kerajaan mengambil langkah berjaga-jaga dan tindakan pencegahan bagi memastikan tiada penyebaran penyakit ‘African Swine Fever’ (ASF) ke negara ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin berkata walaupun buat masa ini Malaysia masih bebas daripada penyakit ASF, namun wabak itu telah dilaporkan di beberapa negara jiran seperti China, Vietnam, Laos dan Korea Utara.

Bagaimanapun, menurutnya Malaysia mempunyai zon penampan dan bebas daripada wabak itu buat masa ini kerana Thailand masih belum mencatatkan kes penyakit ASF.

“Sehingga 20 Jun 2019, enam wabak ASF telah dilaporkan di Asia iaitu China, Mongolia, Vietnam, Kemboja, Korea Utara dan Laos. Di Vietnam, wabak ASF pertama dilaporkan pada 19 Februari lepas dan sehingga kini 2.5 juta ekor babi telah dimusnahkan.

“Hanya satu wabak ASF dilaporkan di Kemboja yang mengakibatkan 2,400 ekor babi dimusnahkan atau mati akibat wabak ASF. Di Korea Utara, wabak ASF pertama dilaporkan di sebuah ladang babi pada 23 Mei lepas di mana 77 daripada 99 ekor babi di ladang tersebut mati akibat wabak itu.

“Laos telah melaporkan wabak pertama ASF pada 20 Jun lepas di tujuh ladang di jajahan Saravane. Sekarang hanya tinggal satu zon penampan iaitu Thailand. Kami bimbang kalau Thailand dapat jangkitan, mungkin wabak ini akan masuk ke Malaysia,” katanya pada sidang media selepas melawat Ladang Ternakan Babi Wong Brothers, di sini hari ini.

ASF adalah penyakit haiwan yang boleh menyebabkan kematian hampir 100 peratus babi dan babi liar.

Sejak negara China mengumumkan kes pertama ASF di jajahan Laoning pada 3 Ogos 2018, sejumlah 136 wabak telah dilaporkan di 32 jajahan yang mengakibatkan 1.133 juta ekor babi di negara itu dimusnahkan.

Sim berkata sebagai langkah pencegahan kemasukan virus ASF ke dalam negara, Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah mengeluarkan surat larangan pengimportan babi serta produk babi dari negara China (12 November 2018), Poland dan Belgium (17 Januari 2019), Thailand dan Vietnam (23 Januari 2019) serta Kemboja (4 April 2019).

Katanya, survelen (pengawasan) klinikal turut dijalankan di ladang babi komersial di lapan buah negeri dan setakat ini kesemua ladang babi komersial yang telah diperiksa tidak menunjukkan tanda-tanda wabak ASF.
Untuk rekod Malaysia mempunyai lebih 600 ladang ternakan babi di seluruh negara dengan jumlah keseluruhan 1.5 juta ekor babi.

Beliau berkata pemantauan dan pemeriksaan ke atas kemasukan produk babi dari negara-negara berisiko ASF telah dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di pintu masuk utama negara sejak 12 November 2018 dan sehingga kini, sebanyak 180 sampel daging dan produk babi dari negara berisiko telah diuji dan hasil uji kaji mendapati tiada virus ASF dikesan daripada semua sampel.

Dalam pada itu, Sim menasihatkan pengusaha ladang-ladang ternakan babi untuk meningkatkan biosekuriti ladang dengan memastikan pagar perimeter ladang dalam keadaan baik, mengelakkan kemasukan pelawat ke ladang babi, memastikan pekerja yang masuk ke ladang memakai pakaian dan but bersih, bersesuaian serta dicelup dalam disinfektan serta mengamalkan penggunaan makanan dedak.

Beliau turut meminta kerjasama pengusaha ladang untuk bersama-sama mengelakkan penularan wabak itu dan menegaskan pemilik ladang ternakan babi untuk melaporkan segera babi yang disyaki berpenyakit atau mati kepada pihak berkuasa veterinar serta tidak memindahkannya tanpa kebenaran.

“Kegagalan melaporkannya boleh didenda tidak melebihi RM25,000,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :