GLOBAL

Malaysia kutuk serangan peluru berpandu di barat daya Arab Saudi

 

KUALA LUMPUR, 13 Jun : Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan peluru berpandu ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Abha di Wilayah Asir, barat daya Arab Saudi yang mengakibatkan 26 orang cedera, semalam.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini berkata serangan itu tidak boleh diterima dan melanggar undang-undang antarabangsa serta menjejaskan keamanan dan keselamatan Timur Tengah.

“Malaysia mengucapkan takziah kepada mangsa yang tercedera … selaku negara pencinta keamanan, Malaysia menggesa semua pihak supaya bersabar dan berharap konflik di rantau itu akan diselesaikan menerusi dialog dan saluran diplomatik,” kata kementerian itu.

Menurut kenyataan kementerian itu setakat ini tiada rakyat Malaysia yang terjejas akibat insiden berkenaan.

Sebuah peluru berpandu yang dilancarkan militia Houthi mengenai balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Abha mencederakan 26 orang awam daripada pelbagai warganegara termasuk tiga wanita masing-masing rakyat Yaman, India dan Arab Saudi serta dua kanak-kanak Arab Saudi, awal pagi Rabu, -BERNAMA


Pengarang :