Selangorkini
GLOBAL

Malaysia mahu ‘perdagangan bebas dan adil’ jadi sebahagian agenda RCEP

BANGKOK, 22 JUN: Malaysia bertekad untuk memastikan ‘perdagangan bebas dan adil’ menjadi sebahagian daripada agenda Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Bercakap kepada media Malaysia di sini, pada Sabtu, Mohamed Azmin berkata pemeteraian perjanjian RCEP akan dibincangkan dalam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-34 berikutan menteri-menteri anggota ASEAN sangat komited untuk mencapai persefahaman dalam RCEP.

“Malaysia optimis RCEP akan dimuktamadkan, namun Malaysia bukan sahaja mahu perdagangan bebas tetapi juga adil, khususnya bagi negara-negara kecil. Kita mahu perdagangan adil diberi penekanan.

“Saya yakin perkara ini boleh diputuskan dalam masa terdekat,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Azmin menghadiri Mesyuarat Khas Menteri Ekonomi ASEAN mengenai RCEP.

Ditanya sama ada rundingan RCEP akan tercapai esok, beliau berkata “kami tidak akan memutuskannya sekarang.”

“Kami komited untuk memastikan kerjasama baharu serantau itu dapat diperkukuh dan kita perlu bergerak ke depan.

Semalam, Pengerusi ASEAN yang juga Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayuth Chan o-cha berkata Thailand sedang berusaha untuk mempercepatkan proses memuktamadkan rundingan RCEP pada tahun ini.

Prayuth berkata “ini hasrat yang dipersetujui semua pemimpin.” Namun, media melaporkan setiausaha perdagangan Filipina berkata tujuh daripada 18 bab telah diputuskan.

RCEP merupakan cadangan perjanjian perdagangan bebas antara 10 negara anggota ASEAN serta enam negara Asia Pasifik iaitu Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

Perjanjian perdagangan bebas itu secara rasminya dilancarkan pada Sidang Kemuncak ASEAN 2012 di Kemboja.

RCEP mempunyai populasi 3.4 bilion dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS$49.5 trilion atau kira-kira 39 peratus daripada KDNK dunia.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata laporan kemajuan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur – Brunei – Indonesia- Malaysia- Filipina (BIMP-EAGA) dan Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) akan dibentangkan esok.

“Saya yakin negara-negara anggota akan melihat cabaran dalam memperkukuh kedudukan dan peranan ASEAN khususnya ketika berdepan perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat,” katanya.

Di bawah BIMP-EAGA, Mohamed Azmin berkata sebanyak 16 daripada 69 projek infrastruktur telah dilaksanakan sejak 2017, manakala 41 projek berjumlah USD 47 bilion telah dilaksanakan di bawah IMT-GT. – BERNAMA


Pengarang :