Selangorkini
NASIONAL

Malaysia, Pakistan perlu teroka lebih banyak peluang perniagaan

KUALA LUMPUR, 28 JUN: Malaysia dan Pakistan perlu meneroka lebih banyak peluang dalam industri halal bukan sahaja untuk penggunaan domestik kedua-dua negara tetapi juga pasaran antarabangsa, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau juga menggesa komuniti perniagaan di kedua-dua negara untuk mengintai peluang dalam bidang seperti kejuruteraan, penyelidikan, pertanian, daging dan produk tenusu, pendidikan dan pelancongan.

“Usaha sama dan peluang perniagaan sangat banyak untuk ahli perniagaan kami dalam bidang ini,” katanya semasa berucap pada persidangan Dewan Perniagaan dan Industri (ICCI) Islamabad mengenai peluang perniagaan dan majlis penyampaian anugerah di sini malam tadi.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, menarik perhatian bahawa pelbagai peluang juga boleh diteroka bersama oleh ahli perniagaan wanita Malaysia dan Pakistan.

Beliau berkata mereka boleh secara bersama meneroka bidang seperti fesyen, teknologi maklumat, hartanah, pendidikan, pelancongan dan pertanian.

Dr Wan Azizah berkata beliau berbangga melihat usahawan wanita di Pakistan menerajui banyak projek seperti tenaga bersih untuk golongan kurang bernasib baik dan kawasan luar bandar di negara mereka serta menyediakan bantuan kewangan dan pendidikan kepada wanita yang bekerja di kampung-kampung.

Jumlah perdagangan Malaysia dengan Pakistan melonjak 2.5 peratus kepada RM5.91 bilion pada 2018 daripada RM5.76 bilion pada 2017.

Bagaimanapun, dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, jumlah dagangan dua hala menurun 7.4 peratus kepada RM1.83 bilion daripada RM1.97 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Memandangkan Pakistan adalah “gergasi” sukan kriket, timbalan perdana menteri berharap negara itu akan mempertimbangkan Malaysia sebagai venue untuk perlawanan kriket.

“Ini dapat membuka lebih banyak peluang bagi kedua-dua negara kita dari segi perniagaan seperti usahasama dalam pelancongan, masakan dan dagangan,” katanya.

Dr Wan Azizah juga mengucapkan selamat maju jaya kepada Pakistan dan berharap pasukan negara itu melakar kejayaan pada Piala Dunia Kriket 2019 sekarang. – BERNAMA


Pengarang :