Selangorkini
NASIONAL

Malaysia sasar jadi hab E&E walau perang teknologi AS-China meningkat

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Dengan perang teknologi yang meningkat antara Amerika Syarikat (AS) dan China, syarikat teknologi gergasi perlu mengurangkan unjuran perolehan mereka pada masa akan datang berikutan kebimbangan mengenai ketegangan antara dua kuasa besar ekonomi itu.

Malaysia telah dikenali sebagai hab bagi industri elektrik dan elektronik (E&E), dengan penggiat utama di seluruh dunia memasuki negara ini yang menjadi pintu masuk utama ke rantau Asia Tenggara yang semakin berkembang.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking memberi jaminan walaupun perang perdagangan dan teknologi berterusan antara dua negara tersebut, Malaysia akan kekal neutral dan menyasarkan untuk menjadi hab bagi E&E dan perniagaan lain.

“Walaupun ketegangan dalam persekitaran ekonomi global, kita optimis Malaysia mempunyai kekuatan untuk menangani yang negatif daripada keadaan tersebut. Kita masih dalam aliran positif yang terbukti dengan peningkatan pelaburan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama.

“Ini didorong terutamanya oleh prestasi kukuh sektor pembuatan, yang merupakan petanda baik bahawa Malaysia kekal sebagai lokasi menarik untuk pelabur masa depan,” katanya.

Menteri itu menjelaskan data pelaburan bagi suku pertama 2019 oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menunjukkan peningkatan sebanyak 3.1 peratus kepada RM53.9 bilion daripada RM52.3 bilion dicatatkan dalam tempoh sama pada tahun lepas.

“Ini disokong oleh pelaburan yang meningkat daripada sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama yang sebahagian besarnya didorong oleh prestasi kukuh sektor pembuatan, yang melonjak 126.8 peratus berbanding suku pertama 2018.” katanya.

Menurut data MIDA, pelaburan asing meningkat 73.4 peratus kepada RM29.3 bilion daripada RM16.9 bilion pada suku pertama 2018, manakala pelaburan domestik yang diluluskan pada suku pertama 2019 berjumlah RM24.6 bilion, menyumbang 45.6 peratus kepada jumlah keseluruhan.

Sebagai respons kepada perang teknologi yang mula memberi kesan kepada sektor E&E, katanya penggiat tempatan perlu berusaha mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh penggiat asing, berikutan Malaysia telah melalui pemindahan teknologi selain mempunyai tenaga kerja mahir.

Pada Jumaat, Broadcom Inc, syarikat multinasional Amerika Syarikat, dilaporkan mengumumkan bahawa ia akan mencatatkan kurang US$2 bilion dari segi jualan tahunan daripada disasarkan disebabkan pertikaian perdagangan antara AS dan syarikat gergasi telekomunikasi dari China, Huawei.

Syarikat gergasi teknologi itu merupakan syarikat pertama yang mengukur impak kewangan daripada pertikaian perdagangan yang meningkat antara Washington dan China.

Broadcom Inc, yang terlibat dalam mereka bentuk, membangun, mengeluar dan membekalkan pelbagai penyelesaian perisian infrastruktur dan semikonduktor serta menyediakan komponen untuk 5G, mempunyai gudang pengedaran global di Pulau Pinang.

Sementara itu, kerajaan negeri Pulau Pinang menggesa penggiat E&E tempatan meninjau peluang daripada pertikaian perdagangan itu.

Penasihat Pelaburan Khas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Datuk Seri Lee Kah Choon berkata syarikat tempatan perlu melihatnya sebagai peluang kepada mereka untuk mengisi kekosongan itu, merujuk kepada nilai US$2 bilion yang dilepaskan oleh Broadcom Inc disebabkan larangan AS terhadap eksport kepada Huawei.

“Ia demi kepentingan kita perang teknologi tidak menjejaskan sektor E&E tempatan. Bagaimanapun dari segi positif, sektor E&E tempatan akan mempunyai peluang untuk memenuhi permintaan bagi cip yang diperlukan oleh Huawei,” katanya.

Dari segi pelaburan langsung asing (FDI), Lee, yang juga Pengarah InvestPenang, berkata walaupun persaingan sengit dari negara-negara jiran seperti Thailand, Kemboja dan Vietnam, Malaysia pada umumnya bukan hanya persekitaran yang diperlukan tetapi juga hubungan rantaian bekalan global, infrastruktur dan sumber manusia yang sesuai dengan keperluan syarikat multinasional.

Merujuk sinergi Broadcom Inc di Malaysia, katanya dengan pertikaian perdagangan yang berterusan antara AS dan China, mungkin terdapat penghijrahan syarikat barat keluar dari China dengan Malaysia sebagai lokasi menarik untuk penempatan semula.

“Kita perlu menempatkan kedudukan kita dengan jelas sebagai destinasi perniagaan jika kita mahu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh syarikat barat yang menerima kesan perang perdagangan, dan saya percaya kita boleh melakukannya,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :