Selangorkini
GLOBAL

‘Malaysia Street Food Lover 2019’ di Bangkok hingga 23 Jun

BANGKOK, 20 Jun: Penggemar makanan berpeluang menikmati keenakan makanan jalanan Malaysia di pusat membeli belah Central World di Bangkok, Thailand bermula hari ini.

Lebih 60 jenis makanan jalanan Malaysia seperti Nasi Lemak, Satay, Roti Canai dan Asam Pedas tersedia untuk dinikmati di kembara ‘Malaysia Street Food Lover 2019’ yang diadakan di sini sehingga Ahad ini.

Selain itu, Hinava, Laksa Sarawak, Otak-Otak Daun Nipah dan beberapa kuih tradisional seperti Seri Muka dan Koci antara menu yang disediakan pada acara yang berlangsung selama empat hari itu.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan berkata ‘Malaysia Street Food Lover 2019’ adalah inisiatif kementerian bagi menggalakkan usahawan makanan di bawah segmen makanan jalanan untuk mengembangkan pasaran kulinari.

“Ini adalah disebabkan keunikan menu hidangan Malaysia mempunyai cita rasa makanan yang serupa dengan negara Asean dari segi rasa – pedas, manis dan masam yang menjadikannya berpotensi untuk diterima rakyat Thailand.

“Malaysia Street Food Festival akan menonjolkan keunikan dan kepelbagaian menu hidangan Malaysia yang melambangkan kebudayaan dan warisan negara.

“Ini merupakan platform pemasaran bagi usahawan kulinari memperkenalkan menu hidangan Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Seramai 24 usahawan dari Malaysia mempamerkan makanan jalanan Malaysia sempena Malaysia Fest 2019.

Kembara ‘Malaysia Street Food Lover 2019’ akan diteruskan di selatan Thailand bermula 27 hingga 30 Jun ini di Central Festival Hatyai, Songkhla.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel berkata Malaysia yang mempunyai kepelbagaian budaya dan makanan itu digambarkan melalui pelbagai masakan yang dipamerkan di festival itu.

“Ini adalah peluang terbaik untuk rakyat Thailand mencuba makanan jalanan Malaysia yang asli,” katanya baru-baru ini. – BERNAMA


Pengarang :