NASIONAL

Manfaatkan sistem semak pesalah jenayah seksual-TPM

BANGI, 30 JUN: Ibu bapa dan mereka yang terbabit secara langsung dengan kanak-kanak digesa memanfaatkan sepenuhnya Sistem Semakan Pesalah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak (e-DKK).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, sehingga Jun lalu, sistem yang berkuat kuasa sejak 1 April itu menerima 68 permohonan daripada individu dan pelbagai agensi.

Daripada jumlah itu, semakan dibuat membabitkan 1,254 penama dari kalangan kakitangan dan bakal pekerja, katanya ketika berucap menutup program Khalifah Junior 2019 Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sini hari ini.

Dr Wan Azizah berkata sistem itu diwujudkan untuk membolehkan ibu bapa, individu dan majikan yang mengambil seseorang untuk menguruskan kanak-kanak membuat semakan latar belakang mereka yang berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat ia bagi memastikan individu tersebut tidak mempunyai sebarang rekod jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Atas sebab itu, kita menyeru kepada semua pihak yang berkaitan untuk menggunakan sistem yang disediakan secara percuma ini dengan sebaiknya, katanya.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata program intervensi bagi menangani masalah sosial dalam kalangan kanak-kanak atau Program Pengalihan (Program Diversion) akan dilaksanakan Ogos ini di tiga buah daerah iaitu Sepang, Selangor dan di Seremban serta Port Dickson di Negeri Sembilan.

Timbalan Perdana Menteri berkata projek rintis itu dilaksanakan bagi menilai kesesuain program, kesediaan serta kemampuan sumber yang terlibat dan memberi ruang kepada penambahbaikan sebelum dilaksanakan di seluruh negara.

Beliau berkata Program Diversion merupakan pendekatan alternatif untuk mengendalikan kanak-kanak yang mempunyai konflik dengan undang-undang tanpa melalui sistem keadilan sedia ada.

“Program ini dibuat supaya kanak-kanak yang telah didapati terbabit dengan jenayah ringan tidak perlu melalui proses hukuman, direman atau dipenjara.

“Kita tidak mahu mereka berada dalam suasana yang boleh menjerumuskan kanak-kanak itu kepada jenayah lebih serius disebabkan pergaulan semasa di dalam penjara,” katanya.

Mengikut laporan akhbar, Dr Wan Azizah sebelum ini dipetik sebagai berkata program yang dirangka itu antara lain akan mengandungi modul kaunseling, khidmat masyarakat, membayar ganti rugi atau membaik pulih kerosakan yang dilakukan.

-BERNAMA

 


Pengarang :