Mangkuk cendol berisi ketamin lebih RM300,000 dirampas | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Mangkuk cendol berisi ketamin lebih RM300,000 dirampas

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Cubaan menyeludup dadah ke Taiwan melalui perkhidmatan kurier gagal apabila polis menahan dua lelaki dan merampas 154 mangkuk besi berisi ketamin bernilai RM372,000 dalam dua serbuan di sekitar Lembah Klang.

Dua lelaki berusia 22 dan 23 tahun yang ditahan dalam serbuan polis sejak Isnin lepas hingga semalam itu disyaki anggota sindiket yang aktif menjalankan kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah untuk pasaran antarabangsa.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman DCP Zulkifli Ali berkata kedua-dua lelaki disyaki menggunakan mangkuk besi untuk menyembunyikan dadah sebelum menghantarnya ke syarikat kurier terbabit untuk proses penghantaran.


“Dadah itu diletakkan dalam mangkuk besi seperti mangkuk cendol sebelum satu lagi mangkuk besi ditindih atas mangkuk itu dan kedua-dua mangkuk itu dipateri bagi mengelak dikesan.

“Sebanyak 154 mangkuk berisi dadah jenis ketamin bernilai RM372,000 mengikut pasaran Malaysia dirampas dan polis turut menyita sebuah kereta jenis Perodua Myvi untuk siasatan, ” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini, hari ini.

Beliau berkata dadah itu dipercayai dibawa masuk dari luar negara dan menjadikan Malaysia sebagai negara transit sebelum diseludup untuk pasaran antarabangsa.

Zulkifli berkata pihaknya sedang kerjasama dengan pihak berkuasa di Taiwan bagi mengesan baki anggota sindiket terbabit.

Beliau berkata dua lelaki terbabit direman tujuh hari sehingga 18 Jun ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next