BERITA UTAMASELANGOR

MB arah siasat punca pencemaran bau Sungai Semenyih

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 JUN: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengarahkan siasatan segera dilakukan bagi mencari punca berlakunya pencemaran bau di Sungai Semenyih.

Katanya, langkah segera perlu diambil bagi menghentikan pencemaran dan memulihkan kembali sumber air terbabit.

“Saya telah mengarahkan agar siasatan lanjut turut akan dilaksanakan bagi mengenalpasti punca ia berlaku,” tulisnya menerusi twitternya, hari ini.

Terdahulu, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), ahli kumpulan Air Selangor, memaklumkan telah berlaku pencemaran bau di Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah bagi Loji Rawatan Air Sungai Semenyih (LRA Sungai Semenyih).

Disebabkan itu, loji berkenaan terpaksa dihentitugas dan menyebabkan beberapa kawasan di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang dijangka akan terkesan dengan gangguan bekalan air serta tekanan rendah bermula jam 9 malam ini.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini dan senarai kawasan yang terkesan menerusi aplikasi telefon bimbit Air Selangor dan laman sesawang www.syabas.com.my.


Pengarang :