SELANGOR

MB bangga JAIS terbit buku teks bahasa Kemboja

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 JUN: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berjaya menerbitkan tujuh buku teks miliknya menggunakan Bahasa Champa dan Khmer untuk kegunaan sekolah agama di Kemboja.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau berbangga dengan kesungguhan JAIS yang berusaha membangunkan sistem pendidikan Islam di negara itu sejak 2013.

“Tahniah kepada Bahagian Pendidikan Islam JAIS, dan sehingga kini Kerajaan Kemboja telah mengiktiraf dan membenarkan kurikulum kita diguna pakai di negara mereka.

“Semua usaha ini dijalankan secara sukarela tanpa peruntukan kerajaan. Semoga usaha murni ini terus dikekalkan demi syiar Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Guru dan Apresiasi Guru KAFA JAIS di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Operasinya, Salwana Ahmad Dahlan serta hampir 700 guru KAFA dari seluruh Selangor.

Pada majlis sama, seramai 320 guru Kelas Al-Quran Dan Fardhu Ain (KAFA) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018, 212 (Anugerah Jasamu Dikenang 2019 Khidmat 25 Tahun) dan 16 (Anugerah Persaraan 2019 Guru KAFA bersara 60 tahun).

Sementara 31 (Anugerah Persaraan 2019 Guru KAFA bersara 60 tahun), 29 (Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 Ketua Guru KAFA) dan 17 (Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 Murabbi Cemerlang).

JAIS turut mengiktiraf 10 sekolah cemerlang antaranya Sekolah Rendah Agama Pandamaran Klang, Tadika Islam Cahaya Murni Rawang dan Sekolah Menengah Tahfiz Harapan dan Maahad Ihya Al Ahmadi Banting.

Amirudin berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga mengiktiraf dan mengalu-alukan Selangor sebagai satu-satunya negeri di Malaysia yang menyediakan anugerah kepada guru KAFA berbanding negeri lain.

“Begitulah besarnya khidmat JAIS khususnya Bahagian Pendidikan Islam, setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan saya ucapkan kepada semua guru yang telah dipilih menerima anugerah sempena sambutan hari guru pada tahun ini.

“Saya berharap sambutan ini akan diteruskan di pelbagai peringkat sebagai bukti penghargaan kita kepada golongan yang berjasa ini.

“Semoga khidmat bakti para guru sekelian diberkati dan diberi ganjaran terbaik daripada ALLAH SWT,” katanya.


Pengarang :