BERITA UTAMASELANGOR

MB dan keluarga teruskan tradisi kunjungan Aidilfitri

OLEH NORHAYATI UMOR

BATU CAVES, 9 JUN: Tradisi kunjung-mengunjungi sempena Hari Raya Aidilfitri sangat sebati dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

Tidak ketinggalan, tradisi itu juga diamalkan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari sejak 10 tahun lalu.

Amirudin berkata, kunjungan beliau bersama keluarga ke rumah ketua-ketua kampung, Ahli Majis dan penggerak utama kawasannya menjadi amalan sejak dahulu lagi.

Katanya, selain merapatkan silaturahim dan beramah mesra, kunjungan itu menjadi platform beliau mengetahui situasi semasa sesuatu kawasan.

“Kunjungan seperti ini menjadi tradisi sejak 10 tahun lalu. Begitu juga dengan perayaan Tahun Baru Cina dan Deepavali.

“Ia menjadi pemangkin pemudahcara semua pihak bekerja. Saya juga boleh mengetahui apakah masalah-masalah kawasan sekiranya ada.

“Cuma tahun lepas saya tidak berkesempatan untuk berkunjung kerana ketika itu saya tidak dibenarkan keluar dari Shah Alam kerana urusan angkat sumpah sebagai Menteri Besar,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, Amirudin yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua bersama isteri, Masdina Muhamad dan keluarganya membuat kunjungan hari raya ke 10 buah rumah penggerak utama kawasan sekitar.

Mengulas perasaannya menyambut Aidilfitri sebagai Dato’ Menteri Besar, Amirudin berkata, beliau gembira kerana dapat meraikan bersama rakyat Selangor.

“Memandangkan tahun lepas saya tidak berkesempatan, namun tahun ini saya gembira dan sedikit teruja.

“Manakala di kawasan saya, ia tidak memeranjatkan kerana sudah lama saya menjadi wakil rakyat di sini,” katanya.


Pengarang :