BERITA UTAMASELANGOR

MB ketuai delegasi Selangor lawat Airbus Bizlab di Perancis

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 22 JUN: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari melawat Pejabat Airbus Bizlab di Toulouse dalam rangka lawatan kerjanya ke Perancis, semalam.

Amirudin berkata, Airbus BizLab adalah rangkaian pemacu industri aeroangkasa bagi peringkat global.

“Di sini usahawan dan syarikat pemula niaga dapat meningkatkan transformasi idea inovatif kepada perniagaan yang memberi pulangan.

“Sejak 2015, ia telah memacu syarikat pemula bernilai 19.5 milion euros,” tulisnya di laman twitter.

Turut sama dalam rombongan itu ialah EXCO Pelaburan, Perindustrian, dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana, Dato’ Teng Chang Khim, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar, Raja Shahreen Raja Othman.

Airbus BizLab adalah pemacu industri aeroangkasa di peringkat antarabangsa, dan sejak empat tahun lalu telah mengendalikan 72 syarikat pemula niaga aeroangksa serta 54 projek dalaman Airbus.

Program yang dijalankan selama enam bulan itu turut berlangsung di empat lokasi termasuk Toulouse (Perancis), Hamburg (Jerman), Bangalore (India) dan Madrid (Sepanyol).

Terdahulu SelangorKini melaporkan, Kerajaan Negeri mahu semua pihak bekerjasama bagi mencapai sasaran memperoleh RM175 bilion pendapatan industri aeroangkasa menjelang 2030.

Amirudin Shari berkata, pihak berkaitan seperti institusi pengajian tinggi, pusat latihan, sektor swasta dan sebagainya harus bergabung bagi membantu Kerajaan Negeri dalam menjayakan sasaran itu.

Pada masa sama, katanya, masih ada banyak lagi ruang yang boleh diteroka bagi membangunkan industri aeroangkasa di Selangor.

Sebelum ini, Selangor turut mensasarkan menjadi tiga hab aeroangkasa terbaik dalam usaha menarik pelaburan langsung asing (FDI).

Pada Belanjawan 2019, Amirudin turut mengumumkan Gugusan Industri Aeropolis dan Aeroangkasa diantara sembilan gugusan utama di negeri ini. Antara lokasi gugusan berkenaan ialah kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAS), Subang.

 


Pengarang :