SELANGOR

MB: PBT perlu beri keutamaan pada pembayar cukai

OLEH NADIAH ZAMLUS

SELAYANG, 18 JUN: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini perlu memberi keutamaan kepada pembayar cukai masing-masing, itu nasihat Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Katanya, ia perlu bagi membolehkan PBT menerima maklum balas baik daripada setiap pembayar cukai yang terbabit.

“Ia juga selaras dengan perancangan Kerajaan Negeri untuk memberikan bonus buat penjawat awam yang berjaya mencapai gred Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

“Saya yakin melalui sasaran maksimum tiga bulan bonus ini mampu memberi motivasi kepada penjawat awam untuk laksana tugas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan sambutan Aidilfitri anjuran Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di ibu pejabatnya di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Hilman Idham dan Timbalan Yang Dipertua MPS, Dato’ Dr Juhari Ahmad.

Majlis berkenaan turut dihadiri lebih 2,000 tetamu jemputan termasuk penduduk dan pelbagai agensi tempatan.

Amirudin berkata, beliau yakin majlis Aidilfitri itu sebagai medan untuk mengeratkan hubungan di antara kakitangan MPS dan juga pemegang taruh negeri.

“Saya lihat sambutan begitu hebat dan meriah dengan kehadiran tetamu dan percaya majlis ini bukan sahaja untuk menjamu makanan tetapi turut membolehkan hubungan di antara kita bertambah erat,” katanya.

 


Pengarang :