SELANGOR

MB terharu keberangkatan Sultan Selangor ke rumah terbuka

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 JUN: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyifatkan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ke Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri peringkat negeri sebagai amat bermakna.

Katanya, hal itu kerana genap setahun beliau mendapat perkenan baginda sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor ke-16.

“Sesungguhnya patik sentiasa menjunjung tinggi kepercayaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku serta nasihat yang disampaikan kepada patik bagi memastikan Selangor dan rakyatnya sentiasa berada dalam keadaan makmur juga sentosa.

“Sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor, patik sentiasa berpendirian bahawa tugas ini adalah satu taklif atau tanggungjawab bukannya tasyrif atau kemegahan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sempah ucapannya pada majlis berkenaan di Bulatan Bazarena, di sini.

Amirudin berkata, pentadbiran Selangor kini amat menginsafi mandat yang diberikan pada 9 Mei 2018.

“Adalah suatu tanggungjawab buat kita untuk menterjemahkan mandat itu kepada sistem politik berasaskan nilai, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Ia sekali gus menolak politik fitnah, adu domba yang menjejaskan muafakat dan keharmonian di negeri yang tercinta ini,” katanya.

Lebih 50,000 hadirin membanjiri majlis berkenaan yang turut dihadiri DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan pimpinan negeri.

 


Pengarang :