NASIONAL

MB : Terima kasih Chong Wei

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 13 JUN : Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menzahirkan ucapan terima kasih kepada bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei di atas jasa beliau selama ini.

Amirudin berkata, seluruh rakyat Malaysia seharusnya berterima kasih kepada pemain badminton dunia itu.

“Kami rakyat Malaysia yang seharusnya berterima kasih kepada Datuk Lee Chong Wei.

“Mengharumkan nama negara di persada dunia. Ikon contoh yang menyatukan rakyat Malaysia tidak mengira agama, bangsa mahupun fahaman politik. Anda wira kami! #TerimaKasihChongWei,” tulisnya di Facebook.

Hal itu bagi mengulas kenyataan Chong Wei yang menzahirkan terima kasih kepada rakyat Malaysia ketika mengumumkan persaraannya daripada arena itu, semalam.

Terdahulu, Chong Wei dalam satu sidang media mengumumkan keputusan bersara daripada arena badminton itu walau berat hati berikutan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

Antara pencapaian Chong Wei adalah tiga pingat perak dalam Sukan Olimpik (2008, 2012 dan 2016) dan tiga kali naib juara dunia (2011, 2013 dan 2015), selain muncul pemain terbanyak memenangi gelaran Super Series sebanyak 46 kali.


Pengarang :