BERITA UTAMANASIONAL

MB ucap selamat menyambut Aidilfitri buat penduduk Selangor

 

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 4 JUN : Dato’ Menteri Besar Selangor menzahirkan ucapan selamat menyambut Aidilfitri kepada seluruh rakyat di negeri ini.

Amirudin Shari berkata, beliau turut mengucapkan maaf zahir batin kepada seluruh rakyat Selangor.

“Dalam rasa terharu bersulam gembira, tiba sudah penghujung Ramadan. Semoga ALLAH SWT memberkati ibadah kita dan melimpahkan segala kebaikan yang ada di bulan ini kepada kita semua.

“Bulan ini adalah bulan penyucian jiwa yang menawarkan pengampunan dosa olehNya bulan ibadah penuh keberkatan,” katanya sempena perutusan Aidilfitri.

Pada masa sama, katanya, sarjana Islam tersohor dari Cambridge Syeikh Abdul Hakim Murad menyebut Ramadan merupakan suatu gangguan.

Jelasnya ia yang mana satu gangguan kepada kebiasaan kita sebagai hamba ALLAH SWT.

“Kebiasaan kita yang penuh leka dan lalai terhadap perintah serta laranganNya telah ‘diganggu’ oleh keberkatan Ramadan.

“Manakala selepas melalui tarbiyah sepanjang Ramadan adalah fasa ‘continuation’ menjadi cita-cita kita agar amal itu kekal berterusan pula sehingga kita menemui Ramadan sekali lagi,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri telahpun mengumumkan Insentif Mahabbah Selangor sebanyak sebulan gaji meliputi 19,244 penjawat awam negeri dan 739 kakitangan Persekutuan yang berkhidmat di Selangor dengan implikasi kewangan sebanyak RM 33.84 juta

Amirudin berkata, buat pertama kali juga Ramadan kali ini lebih bermakna dengan Insentif Mahabbah Ramadan yang melibatkan 2053 surau dan 390 masjid di seluruh Selangor membabitkan sejumlah RM4.17 juta.

“Petugas masjid kariah terdiri daripada nazir, imam satu dan imam dua, bilal satu dan dua serta siak satu dan siak akan menerima setiap seorang RM 400.

“Manakala petugas surau pula yang terdiri daripada pengerusi surau, imam satu dan imam dua, seorang bilal dan seorang siak surau akan menerima setiap seorang RM 300.

“Bayaran ini merangkumi seramai 12 995 petugas masjid dan surau seluruh Selangor,” katanya.

Tidak ketinggalan, beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua itu menjemput seluruh rakyat Selangor ke Majlis Rumah Terbuka Kerajaan Negeri yang akan berlangsung pada 15 Jun ini.

Program itu akan berlangsung di Bulatan Bazarena Seksyen 13 Shah Alam bermula jam 8 malam.


Pengarang :