SELANGOR

MBPJ komited perkasa tadbir urus dan nilai integriti

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

PETALING JAYA, 26 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) terus komited memperkasa tadbir urus dan nilai integriti pekerjanya dalam menjalankan tugas.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, pihaknya sentiasa komited menangani aduan awam dan terus menjadi satu agenda utama tadbir urus majlis dan terus bersikap profesional bagi mencapai harapan masyarakat.

Katanya, MBPJ sering berdepan cabaran dalam melaksanakan tugas daripada semua aspek penyampaian perkhidmatan yang mengurus kepada keselesaan dan kepuasan hati pelanggan.

“Isu dan masalah sentiasa diberi perhatian yang serius bagi memastikan semua peruntukan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan penuh sistematik.

“Perkhidmatan yang cekap, cepat dan betul amat penting untuk kesejahteraan rakyat, khususnya warga bandaraya Petaling jaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memperngerusikan Mesyuarat Majlis Bilangan 6/2019, di Ibu Pejabat MBPJ, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Sayuthi berkata, penerapan nilai integriti penting bagi memastikan perkhidmatan yang disampaikan dan pengurusan pentadbiran sentiasa menjalankan tugas dengan profesional, amanah, bertanggungjawab, dan berintegriti.

“Ia dapat membina mutu kerja cemerlang yang luhur sekali gus membentuk suasana berpasukan yang membudayakan mutu kerja yang berprestasi tinggi.

“Pelbagai infrastruktur dan kemudahan awam yang sudah dan sedang giat dijalankan demi kemudahan masyarakat setempat manakala penambahbaikkan sistem penyampian serta perkhidmatan sentiasa dikemaskini,” katanya.


Pengarang :