SELANGOR

MBPJ laksana pelbagai inisiatif jaya kempen bebas plastik

 

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 26 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyambut baik saranan Kerajaan Negeri melarang penggunaan beg plastik sekali guna dengan melaksana kempen menerusi pelbagai inisiatif.

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, antara inisiatif itu adalah mewujudkan “Shared Tapao Corner”, syarat larangan penggunaan polistirena, plastik dan penyedut minuman serta penggunaan barangan eco-label.

Katanya, “Shared Tapao Corner” adalah satu sudut yang diwujudkan di setiap jabatannya untuk kegunaan kakitangan membeli makanan dan minuman dari luar.

“Sudut itu akan dilengkapi dengan set bekas makanan dan botol air guna semula untuk kegunaan kakitangan yang membungkus makanan dari luar.

“Konsep ini sudah berjaya dilaksanakan di negara luar di bawah konsep ‘sharing economy’ yang menjadi intipati terpenting dalam ‘circular economy’ selain tunggak utama dalam ‘new urban agenda’ serta ‘sustainable development goals 12’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Bebas Plastik MBPJ, di Ibu Pejabat MBPJ, di sini, hari ini.

Sementara itu, katanya, MBPJ akan terus berusaha meningkatkan tahap kesedaran awam dan peniaga berkenaan penggunaan barangan eco-label seperti ECO 001 (barangan bio-degradasi dan bio kompos) dan ECO 009 iaitu barangan buatan berasaskan biomas.

“Kita membuat hebahan dan publisiti berkaitan barangan ini menerusi laman sesawang, media sosial, Onboard Entertainment PJ City Bus, papan iklan digital, risalah dan poster,” katanya.

Selain itu, katanya, syarat larangan penggunaan polistirena, plastik dan penyedut minuman juga dimasukkan dalam terma serta syarat penyewaan petak gerai di medan selera serta pasar milik MBPJ.

“Ia termasuk permohonan sewaan kemudahan MBPJ seperti dewan serbaguna dan deposit akan dikenakan supaya pematuhan syarat itu dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, inisiatif lain pula adalah syarat larangan penggunaan plastik sekali guna turut dikenakan ketika permohonan lesen perniagaan, lesen penjaja, kemajuan pembangunan dan permit infrastruktur.

Manakala, bagi lesen sedia ada, syarat tambahan itu dimasukkan ketika pembaharuan lesen dikemukakan yang berkuatkuasa mulai 1 Januari tahun hadapan.


Pengarang :