SELANGOR

MBPJ lanjut bayaran kompaun lalu lintas sehingga 31 Ogos

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

PETALING JAYA, 27 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melanjutkan tempoh bayaran kompaun tertunggak dan kompaun semasa sehingga 31 Ogos ini bagi kesalahan lalu lintas.

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, pihaknya bersetuju melanjutkan tempoh kempen berkenaan ekoran sambutan menggalakkan selain memberi peluang kepada orang ramai membuat bayaran.

“Kempen ini memberi peluang dan ruang kepada orang awam membuat bayaran bagi kompaun berkenaan,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Bilangan 6/2019 di Ibu Pejabat MBPJ, di sini semalam.

Mohd Sayuthi berkata, pihaknya berjaya mengutip hampir RM580,000 kompaun tertunggak dari 1999 hingga 2017, sementara hampir RM200,000 dikutip daripada kompaun semasa dari 2018 hingga sekarang.

Justeru, beliau berharap peluang itu diambil sebaik mungkin sebelum tindakan undang-undang di mahkamah akan diambil pihaknya.

Untuk semakan kompaun, orang awam boleh hadir ke tingkat 2 Menara MBPJ, memuat turun aplikasi pintar Smart PJ Enforcement atau hubungi talian 0379588085 sambungan 125/126


Pengarang :