Selangorkini
SELANGOR

MBPJ saran kerjasama semua pihak atasi denggi

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 27 JUN: Kerjasama semua pihak dalam membendung masalah denggi yang semakin menular adalah penting bagi memastikan wabak itu dapat dihapuskan.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, walaupun kerajaan sudah melaksanakan pelbagai kempen, namun kesedaran orang ramai antara perkara penting yang harus diamalkan.

“Masyarakat seharusnya melaksanakan kempen 10 minit secara kerap dengan memeriksa dan menghapuskan kawasan tempat pembiakan Aedes.

“Semua penduduk juga digalak melakukan aktiviti gotong-royong di kawasan kediaman mereka tanpa perlu mengharapkan sepenuhnya daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Bilangan 6/2019 di Ibu Pejabat Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini semalam.

Katanya, rakyat Malaysia seharusnya menjadikan Jepun sebagai contoh yang memberi kerjasama baik walaupun hanya satu kes denggi dilaporkan di tempat mereka.

“Rakyat Jepun tidak mahu kes itu tular, jadi mereka bekerjasama dalam memastikan kawasan persekitaran bersih dan bebas pembiakan nyamuk,” katanya.

Terdahulu, sejumlah 3,251 kes demam denggi dilaporkan bagi tahun 2019 sehingga minggu epid 24 di Petaling Jaya, meningkat 301 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dengan 1,077 kes.

Bagaimanapun, jumlah itu adalah terendah berbanding dua PBT lain di Petaling dan tiada kes kematian dilaporkan setakat ini.


Pengarang :