PBTSELANGOR

MBPJ tawar perkhidmatan percuma sempena Ulang Tahun ke-13

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 19 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menawarkan pelbagai perkhidmatan percuma sempena sambutan Ulang Tahun Bandaraya Petaling Jaya kali ke-13, esok.

MBPJ dalam kenyataannya berkata, sambutan di beberapa lokasi itu sebagai menghargai pembabitan masyarakat setempat yang selama ini menyokong dasar dan memberi idea penambahbaikan pembangunan bandar raya Petaling Jaya.

“Antara yang ditawarkan dalam kempen ini adalah kemudahan gelanggang sukan, kolam renang dan padang bola yang boleh ditempah secara percuma untuk satu sesi selama dua jam.

“Sebanyak 1,000 anak pokok diagihkan secara percuma di Tapak Semaian Kelana Jaya, di Lorong SS 7/17k, (berhampiran dengan Stadium MBPJ) dan pemberian Baja Kompos di Smart PJ Waste Solution Lab SS2/63 (130 botol dan bawa botol sendiri).

“Selain itu, kita juga mengadakan kutipan sampah pukal percuma dari 20 hingga 21 Jun ini (terhad 50 buah rumah terawal),” katanya.

Kenyataan sama menyebut, pengunjung turut berpeluang mendaftar sebagai ahli Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya di Jalan Selangor, Petaling Jaya yang diberikan kepada 300 pendaftaran terawal.

Bagi memeriahkan lagi sambutan hari yang sama, MBPJ turut menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri Majlis Bandaraya Petaling Jaya bertempat di Stadium Petaling Jaya, SSS7/15, Kelana Jaya bermula jam 2 hingga 4 petang.

Selain itu turut diadakan kempen pengurangan kompaun selama sebulan yang telah bermula pada 1 hingga 30 Jun ini.

“Kita sememangnya komited dalam memberi yang terbaik kepada penduduk dan mengharapkan penglibatan masyarakat berbilang bangsa daripada golongan muda, veteran, dan Orang Kelainan Upaya (OKU) supaya dapat merasai keunikan, pengalaman dan kemudahan yang ada pada program serta aktiviti yang dianjurkan,’’ katanya.


Pengarang :