SELANGOR

MBSA komited selesai masalah kurang 24 jam

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 18 JUN: Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim komited menyelesaikan masalah penduduk di kawasan pentadbirannya dalam tempoh kurang 24 jam.

Justeru katanya, penduduk perlu memberi kerjasama dan segera melaporkan sebarang masalah yang berlaku di sekeliling mereka kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Saya mengharapkan bantuan dan kerjasama daripada semua pihak jika terdapat permasalahan di kawasan anda, segera lapor kepada MBSA dan saya akan atasinya sebaik mungkin mengikut kemampuan.

“Jika jalan itu perlu ditampal, kita tampal. Jika perlu membina jalan baharu, kita harus melihat kepada peruntukan dan kelulusan daripada Kerajaan Negeri.

“Selain itu, urusan sampah pula kita sedar kadangkala ada masa terlepas pandang, jika anda lapor kita akan cuba menyelesaikannya dalam tempoh 24 jam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri MBSA 2019 di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, di sini hari ini.

Haris yang mengangkat sumpah jawatan itu pada 12 Jun lalu komited untuk memberi penumpuan terhadap lima teras utama, selaras visi menjadikan Shah Alam lebih berkualiti, sejahtera, kondusif dan terunggul.

Lima teras itu adalah meningkatkan lagi perkhidmatan perbandaran, mendekati masyarakat, pembudayaan teknologi, peningkatan kutipan hasil dan memperkasakan sumber manusia.


Pengarang :