Selangorkini
SUKANKINI

McCann tajamkan serangan Malaysian Tigers

KUALA LUMPUR, 19 JUN: Ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan, Roelant Oltmans berjaya mendapatkan khidmat bekas penyerang Australia, Michael McCann untuk mempertajamkan jentera penyerang skuad Malaysian Tigers bagi menghadapi pusingan akhir kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, November ini.

Dutchman, 65, dari Belanda itu berkata McCann, bekas jurulatih serangan pasukan Jerman, akan menyertai latihan skuad negara pada 30 Jun hingga 6 Julai.

“Saya berharap kehadiran beliau akan meningkatkan bahagian serangan, terutama untuk menterjemahkan peluang menjaringkan gol.

“Saya membuat keputusan untuk mengikat perkhidmatan McCann kerana percaya beliau mempunyai pengalaman luas dalam mengendalikan latihan di jentera serangan,” katanya menerusi laman sesawang Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) www.mhc.org.my.

McCann, yang mengumumkan persaraan daripada hoki antarabangsa pada 2007, menjaringkan 72 gol selepas membuat kemunculan dalam 165 perlawanan untuk pasukan kebangsaan Australia, atau dikenali ‘Kookaburras’.

Pada Sukan Olimpik Athens 2004, beliau yang turut menyertai skuad Australia berjaya memenangi pingat emas.

Sementara itu, Oltmans berkata beliau akan mengumumkan 20 pemain akhir bagi siri jelajah Eropah dalam tempoh sebulan.

Beliau menambah pemain yang tidak terpilih dalam saingan jelajah Eropah akan diberi peluang dalam aksi ujian Olimpik Tokyo 2020 pada 19 hingga 23 Ogos, membabitkan empat negara termasuk New Zealand dan Australia serta tuan rumah Jepun.

-BERNAMA


Pengarang :