PBTSELANGOR

MDKL tawar RM100 lapor aktiviti pembuangan sampah haram

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANTING, 17 JUN: Ganjaran wang tunai RM100 menanti pemberi maklumat berhubung aktiviti pembuangan sampah haram di kawasan pentadbiran Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid berkata, tawaran itu antara lain bagi mengekang aktiviti berkaitan di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.

“Pemberian ganjaran kepada pemberi maklumat ini terbuka kepada warganegara Malaysia.

“Ganjaran berbentuk wang tunai bernilai RM100 akan diberikan apabila pelaku kesalahan yang membuang sampah secara haram diberikan kompaun dan notis tawaran kompaun berkenaan telah dibayar serta ganjaran ini hanya akan diberikan membabitkan kenderaan berat sahaja seperti lori bermuatan satu tan ke atas,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pemberi maklumat perlu mengisi borang disediakan di Unit Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MDKL serta bersetuju menjadi saksi di mahkamah jika kes terbabit dibawa ke peringkat perbicaraan.

Katanya, sebagai pembuktian, pemberi maklumat perlu mengambil gambar, lokasi, nombor pendaftaran kenderaan, tarikh kejadian, masa kejadian yang jelas bila aktiviti pembuangan sampah haram terbabit dilakukan.

“Maklumat disampaikan kepada MDKL adalah menggunakan asas aduan yang pertama diterima (first-come basis) dengan mengambil kira maklumat lengkap, tepat dan sahih.

“Rondaan bagi pemantauan serta penguatkuasaan dilakukan setiap hari hasil daripada kerjasama orang awam yang memberikan maklumat serta aduan,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Mohamad Zain turut mengingatkan masyarakat untuk sentiasa menjaga dan memelihara kebersihan selain bekerjasama menyalurkan maklumat supaya aktiviti pembuangan sampah haram dapat dibendung.

Katanya, mentaliti dan sikap tidak bertanggungjawab amat mendukacitakan banyak pihak dalam usaha memastikan penduduk menikmati satu kehidupan yang bersih serta terhindar daripada pencemaran alam sekitar.

“Kita akan meneruskan segala tenaga dan usaha bagi menangkap serta mendakwa mereka yang didapati membuang sampah haram.

“Hanya dengan tindakan maksimum tanpa kompromi diharapkan dapat membebaskan daerah ini daripada masalah berkenaan,” katanya.


Pengarang :