GUA MUSANG, 12 Jun : Lebih 20 pengamal media terpaksa ‘berkampung’ kira-kira 10 kilometer daripada perkampungan Orang Asli suku Batek di Kuala Koh di sini, bagi mengikuti perkembangan terbaharu berkaitan penularan radang paru-paru (pneumonia) dikalangan masyarakat tersebut.
Pengamal media berkumpul di laluan masuk yang dikawal oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) sejak pukul 9 pagi tadi bagi menunggu ketibaan Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan yang dijangka akan mengadakan sidang akhbar mengenai perkembangan terbaharu kes berkenaan.
Tinjauan Bernama mendapati, agensi keselamatan lain termasuklah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (APBN) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut tidak dibenarkan memasuki kawasan tersebut.
Difahamkan ketika ini Pasukan Gerakan Am (PGA) sedang menjalankan operasi mengesan 12 mayat yang dilaporkan telah dikebumikan dalam hutan tanpa membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Mohd Taufik Maidin ketika dihubungi berkata sekatan jalan di Felda Aring 10 dilakukan bukan sahaja untuk mengawal keluar masuk Orang Asli ke kawasan berkenaan malah orang awam yang mahu ke perkampungan tersebut.
Sementara itu, guru agama orang asli Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Mohd Fadzli Mamok ketika ditemui pemberita di sekatan tersebut berkata beliau difahamkan PGA kini sedang mencari lapan mayat dalam kawasan radius tiga km daripada perkampungan Orang Asli itu.
“Selain itu, pasukan pencari juga sedang mengesan lokasi empat lagi mayat yang dikatakan dikebumikan di hulu Sungai Lebir,” katanya.
Isnin lepas, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengeluarkan arahan larangan terhadap orang ramai daripada mamasuki perkampungan masyarakat Orang Asli itu atas alasan kesihatan kerana jangkitan kuman radang paru-paru mudah merebak menerusi udara.
Semalam, Kementerian Kesihatan mengesahkan dua daripada 14 kematian yang melibatkan Orang Asli suku Batek di Kuala Koh dalam tempoh sebulan lepas berpunca daripada radang paru-paru, namun punca sebenar kematian akan diketahui hanya setelah beberapa ujian yang dilakukan selesai dalam masa terdekat.
Masalah kesihatan yang melanda penempatan Orang Asli Suku Batek itu menyaksikan seramai 99 penduduk dirawat dengan empat daripadanya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Krai dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini. -BERNAMA