BERITA UTAMANASIONAL

Megat Zaharuddin letak jawatan pengerusi FELDA

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), berkuat kuasa 30 Jun ini.

FELDA dalam kenyataan hari ini berkata, Megat Zaharuddin memaklumkan hasratnya melepaskan jawatan itu semalam (24 Jun).

“Perjalanan hidup kita mengandungi ‘perhentian’ dan ‘permulaan’. Saya memikir apakah lagi rancangan Allah pada diri saya,” kata Megat Zaharuddin dalam kenyataan itu.

FELDA berkata, pengerusi baharu bakal diumumkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, kerana agensi itu bernaung di bawah kementerian berkenaan.

Megat Zaharuddin yang dilantik sebagai pengerusi agensi itu pada 26 Julai tahun lalu berusaha keras memahami rapat isu FELDA, terutama berkaitan warga peneroka di sepanjang tempoh berkenaan.

“Di bawah pentadbiran beliau, beberapa inisiatif pelan transformasi diperkenal dan diketengahkan untuk meneraju FELDA semula ke tahap kelestarian dan kegemilangan.

“Beliau juga menyusun atur dan memperkenalkan misi, visi serta nilai teras baharu FELDA supaya organisasi itu mampu menjadi pemacu pembangunan penempatan negara yang progresif,” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :